EIDUL QURRA’ 2015 – MAJLIS GRADUASI TAHFIZ


Majlis Graduasi Tahfiz adalah antara majlis tahunan yang dianjurkan oleh Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Asriah (MTAQA) dan pada tahun 2015 adalah tahun ketiga majlis ini dianjurkan. Semalam, nampaknya sekali lagi Majlis Graduasi Tahfiz atau pun yang lebih popular dengan nama Eidul Qurra’ iaitu hari meraikan para Al-Hafiz berjaya di acarakan dengan jayanya.

Persiapan majlis ini sebenarnya agak kelam-kabut kerana dibuat pada minit-minit terakhir iaitu sehari sebelum majlis ini diadakan. Ini kerana, sudah sinonim dengan para guru yang sibuk dengan pelbagai tugasan pada hujung tahun sesi persekolahan. Tapi, mungkin berkat dan juga kesungguhan serta kerjasama yang digandingkan antara guru dan para murid menyebabkan majlis ini dapat dijalankan dengan lancar.

MAJLIS BERMULA

Majlis bermula seawal jam 8.45 pagi lagi. Menunggu ketibaan para ibu bapa dan juga keluarga graduan Al-Hafiz di perkarangan MTAQA. Hujan mulai turun renyai-renyai dengan diselang-seli dengan panas yang redup. Ternyata, cuaca yang tidak menentu pada bulan Disember ini pada bahagian pantai timur Malaysia. Ibu bapa yang sudah tiba, diminta untuk memenuhi ruang dalam dewan yang telah disediakan iaitu dewan asrama MTAQA.

PERARAKAN 

Jam 9 pagi, para Al-Hafiz beratur bersama dengan para guru untuk berarak memasuki dewan dengan diikuti bacaan selawat. Para Al-Hafiz mengambil tempat di atas pentas untuk bacaan ayat Al-Quran yang diketuai oleh Ustaz Asyraf sebagai jurukhatam pada hari tersebut. Manakala, para guru mengambil tempat masing-masing yang sudah dikhaskan di dalam dewan.

JURU KHATAM AL-QURAN

Sejurus itu, jurukhatam, Ustaz Asyraf Anuar memulakan majlis khatam dengan bacaan ayat Al-Quran daripada juz 30 dan seterusnya disambung oleh para Al-Hafiz sehinggalah sampai kepada ayat terakhir dalam juz 30. Para tetamu yang berada di dalam dewan begitu tekun mendengar bacaan ayat-ayat suci yang dialunkan yang mungkin ada antara anak mereka yang mengalunkan bacaan ayat mukjizat itu. Mungkin mereka bangga. Bersyukur.

DOA MAJLIS KHATAM

Penutup majlis khatam ini ditutup dengan doa yang dibaca oleh Ustaz Hafisze Idrus. Doa yang panjang dan menusuk kalbu daripada Ustaz Hafisze begitu meninggalkan kesan jika diamati dan dihayati dengan betul-betul kerana doa yang dialunkan adalah doa di dalam Bahasa Melayu. Runtun hati mengenang dosa, tinggi harapan mengharap pengampunan dan syurga Allah Taala.

UCAPAN PENGETUA

Seterusnya, para Al-Hafiz mengosongkan pentas dan majlis ini diteruskan dengan ucapan Pengetua Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Asriah, Ustaz Hj Zawawi Zakaria. Ucapan yang lebih kepada amanat dan juga nasihat buat para Al-Hafiz yang majoritinya adalah tingkatan empat yang akan meninggalkan sekolah ini. Cabaran dan juga ujian sentiasa menanti buat para Al-Hafiz dan pesan pengetua berulang kali supaya Al-Quran ini jangan lupa untuk diulang.

PENYAMPAIAN SIJIL

Majlis sampai kemuncaknya dengan penyampaian sijil kepada graduan Al-Hafiz dan anugerah Al-Hafiz terbaik diumumkan dengan adik Muhd Nazif menjadi penyandangnya. Adik Muhd Nazif merupakan graduan muda yang dapat khatam hafazan Al-Quran dalam tempoh masa 1 tahun 11 bulan. Jarang – jarang dan kadang – kadang ada menyebabkan ianya sesuatu yang ganjil dan boleh dijadikan semangat dan teladan buat para murid yang belum lagi khatam.

PERSEMBAHAN SELINGAN

Para pengerus majlis selepas itu, mempersilakan para penghibur MTAQA untuk menghiburkan hadirin dan hadirat yang hadir di dewan itu. Dijemputnya kumpulan nasyid untuk mengalunkan nasyid sebelum majlis berakhir dan mungkin ada ibu bapa yang hadir baru tahu yang sebenarnya anak mereka mempunyai bakat dalam bidang nasyid. Disusuli selepas itu adalah tazkirah dari juara Daie Milinea yang dianjurkan oleh Badan Dakwah MTAQA baru-baru ini oleh adik Ikhwan Bin Lam Hawari. Sesuatu yang perlu dibanggakan oleh ibu bapanya.

PENUTUP

Majlis ditutup dengan sesi bergambar sebagai kenang-kenangan. Sesi ini sudah sedia maklum akan mengambil masa yang lama kerana akan ada pelbagai ragam dan posisi untuk mengambil gambar. Majlis mengambil kesempatan ini untuk menyediakan jamuan makan buat para tetamu. Majlis tamat dengan jamuan nasi minyak dan ayam percik buat tetamu dan juga para Al-Hafiz. Hari untuk meraikan mereka nampaknya tamat dengan jamuan yang sedap dan menyenangkan.

Buat para Al-Hafiz, ketahuilah yang perjalanan kamu sebagai Al-Hafiz baru sahaja bermula dan syaitan itu bukan jenis makhluk yang mudah mengalah biarpun kamu sudah menghafal 30 juz. Liku-liku, onak, ranjau dan duri dalam perjalanan ini akan kamu temui dan harapnya kamu yang bergelar Al-Hafiz ini dapat menempuhinya dengan selamat tanpa ada luka dan calar balar. Syaitan itu akan cuba sehabis daya. Perjuangan dan perjalanan  ini kamu akan harungi sampai jasad kamu meninggalkan dunia ini.

**Pihak sekolah memohon maaf sekiranya sepanjang majlis ini ada cacat cela dan kekurangan yang menyusahkan para tetamu yang datang dan menyerikan majlis ini sepanjang berlangsung.

12208283_781089982002879_5855364811933086928_n 12308568_781087782003099_323858995996807404_n 12313993_781088022003075_431416466065324491_n 12316555_781087818669762_423412557374440382_n 12316667_781089885336222_6062420909521021577_n 12342338_781090008669543_6374373207575863605_n 12342353_781087805336430_4964924841630232607_n 12342353_781087905336420_1643555222240315859_n 12346308_781089962002881_3101433506807807937_n 12360089_781089872002890_2958334689689106653_n 12360131_781087842003093_544724128763039694_n 12369039_781089918669552_8736038571404235223_n

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s