EIDUL QURRA’ MTAQA 2016


PASIR MAS – Pada 4 Disember yang lalu, MTAQA dengan jayanya telah mengadakan program tahunan iaitu Eidul Qurra’ peringkat MTAQA di Dewan Apam Putera, Lubok Jong, Pasir Mas. Program ini dijadikan program tahunan dan untuk tahun 2016, Eidul Qurra’ ini adalah yang Eidul Qurra’ yang keempat berjaya dianjurkan oleh MTAQA.

Eidul Qurra’ adalah satu program yang dicetuskan oleh Ustaz Affendi selaku Guru Kanan Al-Quran Qiraat pada suatu ketika dahulu untuk meraikan pelajar-pelajar MTAQA yang telah khatam hafazannya 30 juzuk. Di samping untuk meraikan mereka ini, harapan daripada program ini agar pelajar-pelajar yang lain lebih berinspirasi dan bersemangat untuk menamatkan hafazan Al-Quran 30 juzuk.

Pada tahun ini, Eidul Qurra’ tidak seperti tahun-tahun yang lepas. Jika sebelum ini, Eidul Qurra’ diadakan di perkarangan MTAQA tetapi tidak tahun ini kerana tahun ini ianya berlangsung di Dewan Majlis Daerah Pasir Mas baharu iaitu Dewan Apam Putera yang bertempat di Lubok Jong, Pasir Mas. Ini kerana, perkarangan sekolah begitu sesak dengan kerja pembinaan baharu yang sedang galak membangun. Jadi, diadakan program ini di luar adalah satu langkah yang terbaik.

Eidul Qurra’ kali ini menampilkan 33 orang peserta. 33 orang ini kesemua pelajar MTAQA yang menamatkan hafazannya dari tarikh Eidul Qurra’ tahun lepas sehingga tarikh 1 Disember 2016. Tahniah kepada mereka-mereka ini. Majoriti mereka adalah pelajar-pelajar tingkatan 4. Memang begitu kebiasaannya saban tahun.

Pendaftaran bermula seawal jam 8 pagi. Ibu bapa dan keluarga peserta mula mendaftarkan diri di pintu masuk dewan. Riak wajah setiap ahli keluarga nampak gembira dan senyuman sentiasa meleret di bibir. Bangga terbit di hati mereka. Bagi ibu bapa, perasaan puas pasti bergolak di dalam dada bila impian untuk melihat anaknya menghafal Al-Quran 30 juzuk tercapai.

Jam 9.00 pagi, program bermula dengan perarakan para murabbi MTAQA memasuki dewan melalui pintu utama dengan iringan selawat ke junjungan Nabi Muhammad s.a.w. Seterusnya, pengerusi mempersilakan kesemua peserta ke atas pentas dengan diketuai oleh Ustaz Asyraf untuk mengalunkan Surah Al-Dhuha hingga akhir juzuk. Gemersik dewan dengan suara alunan anak-anak tahfiz. Kalam Allah merdu didendangkan. Bergetar jiwa hadirin yang hadir.

Selesai sahaja, Ustaz Hafisze menutupnya dengan satu doa yang begitu mendalam dan terkesan buat semua yang hadir. Sebak mengenangkan apa nasib di akhirat kelak. Doa yang diucapkan dalam Bahasa Melayu itu mampu membuatkan semua yang ada di dewan itu faham apa yang dipinta daripada Allah, Tuhan sekelian alam. Moga-moga Allah mengabulkan doa kita semua.

Majlis diteruskan dengan ucapan Tuan Pengetua, Ustaz Haji Zawawi Bin Zakaria. Pengetua menekankan dalam ucapannya betapa bertuahnya para ibu bapa yang mempunyai anak-anak menghafaz Al-Quran. Mereka ini yang bakal memberi syafaat kepada kedua ibu bapanya di hari akhirat bersandarkan kepada hadis yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Mereka ini kelak akan memakaikan kepada kedua orang tuanya sebuah mahkota yang cahaya mahkota tadi lebih terang berbanding cahaya matahari. Allahuakbar. Suatu nikmat dan suatu rahmat kepada para ibu bapa.

Selesai sahaja ucapan Pengetua, majlis semakin hampir kepada penamatnya. Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil kepada semua peserta Eidul Qurra’ 2016. Sijil khatam Al-Quran dan satu anugerah khusus yang dinamakan dengan Huffaz Terbaik kepada pelajar yang menunjukkan pencapaian yang cemerlang dalam menghafal dan juga murajaah Al-Quran. Anugerah khas itu dinobatkan kepada Abdul Rahim Bin Mohamad Adam dari tingkatan empat dan beliau dipersilakan untuk mempersembahkan bacaan Qiraat 7 yang dibaca secara jama’. Tahniah diucapkan kepada semua peserta.

Majlis ditamatkan dengan sesi bergambar antara para peserta dengan guru-guru Asriah, peserta dengan bapa dan peserta dengan ibu masing-masing. Majlis akhirnya bersurai dengan sedikit juadah kepada tetamu yang hadir untuk dibawa pulang. Semoga tetamu yang pulang berpuas hati dengan layanan dan kelancaran majlis ini berlangsung.

Terima kasih diucapkan kepada pengarah program, Ustaz Afizul dan semua AJK yang terlibat sama ada di peringkat guru atau di peringkat pelajar dalam menjayakan Program Eidul Qurra’ 2016. Juga kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak dalam melaksanakan program ini. Apa yang baik itu boleh jadikan ianya lebih baik untuk digunakan pada tahun hadapan, dan apa yang buruk itu boleh dijadikan pengajaran agar ianya tidak berulang lagi.

dsc_0729

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s