EIDUL QURRA’ MTAQA 2016

PASIR MAS – Pada 4 Disember yang lalu, MTAQA dengan jayanya telah mengadakan program tahunan iaitu Eidul Qurra’ peringkat MTAQA di Dewan Apam Putera, Lubok Jong, Pasir Mas. Program ini dijadikan program tahunan dan untuk tahun 2016, Eidul Qurra’ ini adalah yang Eidul Qurra’ yang keempat berjaya dianjurkan oleh MTAQA.

Eidul Qurra’ adalah satu program yang dicetuskan oleh Ustaz Affendi selaku Guru Kanan Al-Quran Qiraat pada suatu ketika dahulu untuk meraikan pelajar-pelajar MTAQA yang telah khatam hafazannya 30 juzuk. Di samping untuk meraikan mereka ini, harapan daripada program ini agar pelajar-pelajar yang lain lebih berinspirasi dan bersemangat untuk menamatkan hafazan Al-Quran 30 juzuk.

Pada tahun ini, Eidul Qurra’ tidak seperti tahun-tahun yang lepas. Jika sebelum ini, Eidul Qurra’ diadakan di perkarangan MTAQA tetapi tidak tahun ini kerana tahun ini ianya berlangsung di Dewan Majlis Daerah Pasir Mas baharu iaitu Dewan Apam Putera yang bertempat di Lubok Jong, Pasir Mas. Ini kerana, perkarangan sekolah begitu sesak dengan kerja pembinaan baharu yang sedang galak membangun. Jadi, diadakan program ini di luar adalah satu langkah yang terbaik.

Eidul Qurra’ kali ini menampilkan 33 orang peserta. 33 orang ini kesemua pelajar MTAQA yang menamatkan hafazannya dari tarikh Eidul Qurra’ tahun lepas sehingga tarikh 1 Disember 2016. Tahniah kepada mereka-mereka ini. Majoriti mereka adalah pelajar-pelajar tingkatan 4. Memang begitu kebiasaannya saban tahun.

Pendaftaran bermula seawal jam 8 pagi. Ibu bapa dan keluarga peserta mula mendaftarkan diri di pintu masuk dewan. Riak wajah setiap ahli keluarga nampak gembira dan senyuman sentiasa meleret di bibir. Bangga terbit di hati mereka. Bagi ibu bapa, perasaan puas pasti bergolak di dalam dada bila impian untuk melihat anaknya menghafal Al-Quran 30 juzuk tercapai.

Jam 9.00 pagi, program bermula dengan perarakan para murabbi MTAQA memasuki dewan melalui pintu utama dengan iringan selawat ke junjungan Nabi Muhammad s.a.w. Seterusnya, pengerusi mempersilakan kesemua peserta ke atas pentas dengan diketuai oleh Ustaz Asyraf untuk mengalunkan Surah Al-Dhuha hingga akhir juzuk. Gemersik dewan dengan suara alunan anak-anak tahfiz. Kalam Allah merdu didendangkan. Bergetar jiwa hadirin yang hadir.

Selesai sahaja, Ustaz Hafisze menutupnya dengan satu doa yang begitu mendalam dan terkesan buat semua yang hadir. Sebak mengenangkan apa nasib di akhirat kelak. Doa yang diucapkan dalam Bahasa Melayu itu mampu membuatkan semua yang ada di dewan itu faham apa yang dipinta daripada Allah, Tuhan sekelian alam. Moga-moga Allah mengabulkan doa kita semua.

Majlis diteruskan dengan ucapan Tuan Pengetua, Ustaz Haji Zawawi Bin Zakaria. Pengetua menekankan dalam ucapannya betapa bertuahnya para ibu bapa yang mempunyai anak-anak menghafaz Al-Quran. Mereka ini yang bakal memberi syafaat kepada kedua ibu bapanya di hari akhirat bersandarkan kepada hadis yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Mereka ini kelak akan memakaikan kepada kedua orang tuanya sebuah mahkota yang cahaya mahkota tadi lebih terang berbanding cahaya matahari. Allahuakbar. Suatu nikmat dan suatu rahmat kepada para ibu bapa.

Selesai sahaja ucapan Pengetua, majlis semakin hampir kepada penamatnya. Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil kepada semua peserta Eidul Qurra’ 2016. Sijil khatam Al-Quran dan satu anugerah khusus yang dinamakan dengan Huffaz Terbaik kepada pelajar yang menunjukkan pencapaian yang cemerlang dalam menghafal dan juga murajaah Al-Quran. Anugerah khas itu dinobatkan kepada Abdul Rahim Bin Mohamad Adam dari tingkatan empat dan beliau dipersilakan untuk mempersembahkan bacaan Qiraat 7 yang dibaca secara jama’. Tahniah diucapkan kepada semua peserta.

Majlis ditamatkan dengan sesi bergambar antara para peserta dengan guru-guru Asriah, peserta dengan bapa dan peserta dengan ibu masing-masing. Majlis akhirnya bersurai dengan sedikit juadah kepada tetamu yang hadir untuk dibawa pulang. Semoga tetamu yang pulang berpuas hati dengan layanan dan kelancaran majlis ini berlangsung.

Terima kasih diucapkan kepada pengarah program, Ustaz Afizul dan semua AJK yang terlibat sama ada di peringkat guru atau di peringkat pelajar dalam menjayakan Program Eidul Qurra’ 2016. Juga kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak dalam melaksanakan program ini. Apa yang baik itu boleh jadikan ianya lebih baik untuk digunakan pada tahun hadapan, dan apa yang buruk itu boleh dijadikan pengajaran agar ianya tidak berulang lagi.

dsc_0729

Ujian Tahriri Al-Quran SMTQ 2016

Isnin | 26 September 2016

Sedang berlangsung pada tarikh ini di MTAQA adalah ujian bertulis Sijil Menengah Tahfiz al-Quran (SMTQ) 2016 bagi subjek Al-Quran buat pelajar tingkatan 4.

Doakan kejayaan anak-anak ini dan agar dipermudahkan oleh Allah segala kesulitan dalam menjawab peperiksaan ini.

**Subjek lain akan bermula pada 17 Oktober nanti.

IMAM TERAWIH JAJAHAN

Rabu | 15 Jun 2016 | 10 Ramadan 1437

Seramai 40 orang pelajar Asriah telah berlepas ke Kota Bharu bagi mengimami solat terawih di masjid-masjid sekitarnya.

Program ini adalah program saban tahun anjuran negeri Kelantan yang mana pelajar tahfiz dari sekolah YIK yang terpilih akan dihantar untuk mengimami solat terawih.

Objektifnya adalah untuk mendedahkan pelajar-pelajar tahfiz ini dengan pengalaman untuk menjadi imam terawih di masjid-masjid yang asing bagi mereka.

Selain menimba pengalaman yang berharga, kunjungan pelajar tahfiz juga sebagai mempromosi produk tenaga insan yang dididik oleh sekolah-sekolah agama di Kelantan.

Program ini akan membawa pelajar yang menjadi imam terawih menjelajah setiap jajahan-jajahan yang ada di negeri Kelantan.

Tahun ini, imam terawih dari MTAQA akan menjelajah 3 jajahan di Kelantan iaitu, jajahan Kota Bharu, Pasir Mas dan Tumpat.